PUTRAJAYA, 24 OKTOBER – Membentuk warga Agensi agar sentiasa berkompetensi dan berkualiti, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) laksana Sambutan Hari Inovasi galakkan warga wujudkan pelbagai idea inovasi baharu.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah menyatakan, penting bagi warga Agensi untuk memberi perhatian terhadap aspek inovasi kerana melalui inovasi, mereka dapat melakukan perubahan positif yang mampu meningkatkan kualiti dan kecekapan dalam bidang tugas masing-masing.
Tambah beliau lagi, penerapan inovasi bukan sahaja membantu dalam membentuk warga yang berkompetensi tinggi, tetapi juga menambah nilai kepada kualiti perkhidmatan yang diberikan. Dalam konteks negara MADANI (Mampan, Sejahtera, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan & Ihsan), inovasi menjadi asas penting untuk membina sebuah agensi dan negara yang lebih maju serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Inovasi 2024 petang tadi di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Putrajaya.
Menerusi Sambutan Hari Inovasi pada tahun ini, Maritim Malaysia berjaya merekodkan sebanyak 109 penyertaan melalui enam kategori yang dipertandingkan seperti Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), Persekitaran Pejabat yang Kreatif dan Inovatif, Cetusan Idea Kreatif dan Inovatif, Video Montaj Sambutan Hari Inovasi, Kuiz Inovasi Online dan Innovation Hunt Games.
Bagi kategori utama Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), tempat pertama telah dijuarai oleh Kumpulan AMSAS-EZ mewakili Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), tempat kedua dimenangi oleh Kumpulan MBOR mewakili Maritim Negeri Kelantan dan tempat ketiga dimenangi oleh Squad Kilat mewakili Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan.
Tahniah diucapkan kepada semua pemenang.





















.svg.png)

