PUTRAJAYA, 23 OKTOBER – Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah menerima sijil Penyerahan Nota Kerjasama Strategik dalam Bidang Penguatkuasaan Maritim dan Koreksional daripada Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Komisioner Jeneral Penjara Dato’ Haji Nordin bin Haji Muhamad bersempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.
Penyerahan sijil itu disaksikan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik bin Jeman bersama Ketua Polis Negara, Inspektor Jeneral Tan Sri Razarudin bin Husain.
Antara intipati di bawah kerjasama ini memberi fokus terhadap peranan Maritim Malaysia yang terlibat sebagai platform bagi operasi pemindahan banduan dan penghuni penjara menggunakan pengangkutan air.
Buat masa ini, tatacara pemindahan akan dibangunkan bagi memastikan faktor keselamatan diutamakan dalam pelbagai aspek.
Dalam perkembangan lain, Ketua Setiausaha KDN turut menekankan berkaitan libat urus setiap agensi di bawah KDN perlu proaktif dan sentiasa komited dalam melaksanakan peranan masing-masing. Ini termasuk dalam bidang pengurusan pentadbiran dan operasi.
Turut hadir ke Perhimpunan Bulanan KDN, Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim, pengarah-pengarah bahagian dan pegawai-pegawai daripada Ibu Pejabat Maritim Malaysia.





















.svg.png)

