SUBANG, 17 SEPTEMBER – Lebih 2,000 pengunjung telah mengunjungi reruai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sempena Selangor Aviation Show (SAS) 2024 bertempat di Sky Park Aviation, Subang yang bermula dari 12 hingga 14 September lalu.
Menawarkan pengalaman menarik kepada pengunjung melalui demonstrasi tugasan dan pengoperasiannya melalui teknologi Virtual Reality (VR), Maritim Malaysia turut menampilkan pelbagai replika aset laut seperti KM TUN FATIMAH, KM BAGAN DATUK, BOT PERKASA, dan BOT PENGALANG selain replika aset udara seperti pesawat BOMBARDIER CL415 MP, Helikopter AUGUSTA WESTLAND 139 (AW139) dan N3 DAUPHIN.
Maritim Malaysia dalam pada itu turut mempamerkan sebuah helikopter N3 Dauphin milik Agensi ini di pameran statik. Aset udara ini dibawakan khas ke SAS 2024 bagi memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat lebih dekat aset Maritim Malaysia dan memahami peranan serta keupayaan Agensi ini dalam menjaga keselamatan perairan negara.
SAS 2024 merupakan pameran tahunan anjuran Kerajaan Negeri Selangor adalah bertujuan untuk mempromosikan Selangor sebagai hab industri aeroangkasa di Malaysia.
Merupakan edisi keempat penganjuran, SAS 2024 telah menampilkan penyertaan dari lebih 35 negara, mempamerkan 49 pesawat statik pelbagai jenis, dan melibatkan 110 pempamer termasuk pasukan keselamatan serta agensi kerajaan dan swasta.
Selain Maritim Malaysia, pasukan keselamatan yang turut serta dalam pameran ini termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).





















.svg.png)

