KLUANG, 12 SEPTEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Maritim Negeri Johor dan Zon Maritim Batu Pahat mengadakan program bersama murid-murid di Sekolah Tinggi Kluang, Johor Bahru dalam Inspirasi Malaysia (I'M) pagi tadi.
Program yang julung kalinya dianjurkan ini adalah bertujuan bagi memperkenalkan fungsi dan peranan Maritim Malaysia secara lebih dekat kepada golongan murid, guru-guru serta masyarakat setempat.
Program dimulakan dengan sesi taklimat pengenalan dan kerjaya diikuti sesi penerangan mengenai 'Preventive Search and Rescue (SAR)' oleh pegawai Maritim Malaysia.
Selesai taklimat, para hadirin berpeluang mengunjungi reruai pameran yang disediakan oleh Unit Perhubungan Awam Maritim Negeri Johor dan dibantu Unit Komunikasi Korporat Ibu Pejabat, Zon Maritim Batu Pahat serta Unit Keselamatan dan Skuadron Selam Maritim Negeri Johor.
Melalui bahan-bahan yang dipaparkan para hadirin dapat mengetahui dengan lebih mendalam mengenai peralatan selam serta senjata yang dipamerkan.
Malah, melalui pendekatan 'hands on' mereka dapat mencuba sendiri 'Operation equipments and gears' yang digunakan Maritim Malaysia di samping dapat merasai sendiri pengalaman menjadi seorang anggota Maritim Malaysia secara maya melalui peranti Virtual Reality (VR).
Turut hadir dalam program itu, Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maritim (BSJM), Laksamana Pertama Maritim Ahmad Faridi bin Ferdaus diiringi Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff bin Mohd Yunus serta Guru Penolong Kanan Tingkatan 6, Sekolah Tinggi Kluang Puan Dr. S. Hasimah Wati binti Zainal.
Untuk makluman, pada 13 September (esok) Majlis Sua Mesra Bersama YB Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan diadakan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Aris Bendahara, Kluang pada jam 2.30 petang.





















.svg.png)

