PUTRAJAYA, 27 Februari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah mengadakan Seminar Pengurusan Bencana Maritim dengan tema ‘Menuju Kolaborasi Mapan dan Sejahtera’ yang telah disempurnakan oleh Pengarah BCLBB, Laksamana Pertama Maritim Hamizan Bin Harun pagi tadi.
Lebih 400 peserta secara fizikal dan dalam talian telah mengikuti seminar ini yang menghimpunkan 26 agensi terdiri daripada jabatan kerajaan, sahabat strategik Maritim Malaysia, pakar, badan bukan kerajaan dan akademia yang berkaitan bidang CARILAMAT di negara ini.
Penganjuran seminar ini adalah bertujuan untuk berkongsi peranan, tanggungjawab dan cabaran yang dihadapi oleh agensi-agensi penyelamat semasa bencana maritim, selari dengan fokus Pelan Strategik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia 2023 – 2033 iaitu; memperkasakan kolaborasi CARILAMAT kebangsaan.
Seminar ini dimulakan dengan sesi pertama iaitu pembentangan tajuk-tajuk menarik mengikut kepakaran panel jemputan, iaitu dimulakan dengan ‘Peranan Semasa Bencana’ yang dibentangkan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Seksyen Pelaksanaan Operasi dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Encik Arjunaidi bin Ismail.
Seterusnya Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Air Dan Marin, Seksyen Kontingensi Tumpahan Minyak Dari Jabatan Alam Sekitar (JAS), Norina Frederick Sambang mengambil tempat dengan pembentangan beliau yang bertajuk ‘Cabaran Mengendalikan Operasi Pembersihan Tumpahan Minyak’.
Kemudian Pengarah Bahagian Perisikan Dan Pengurusan Krisis Negara, Encik Tajul Ariffin bin Muhamad dari Majlis Keselamatan Negara (MKN), membentangkan tajuk ‘Peranan Semasa Krisis’ diikuti Supt (D13) Dasar Databank DNA, Superintenden Khairil Sopian bin Ismail, dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan tajuk ‘Disaster Victim Identification (DVI)’.
Tajuk pembentangan seterusnya ialah ‘Peranan Semasa Bencana Maritim’ disampaikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Operasi (Perkhidmatan) Udara, Encik Mani Vannan a/l Ketena Samy dari Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) dan diikuti Penolong Pengarah Kanan, Unit Carilamat Dan Bantuan Bencana, Leftenan Komander Maritim Hizam Bin Zulkifli, dari Maritim Negeri Sabah Dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan tajuk ‘Cabaran Sebagai Agensi Peneraju SAR Maritim’.
Panel terakhir pembentangan ialah Timbalan Dekan Akademik Dan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Pengajian Maritim Dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Technologist Dr. Kasypi Mokhtar dengan tajuk ‘Peranan Akademia Dalam Isu Bencana Maritim’.
Sesi kedua seminar telah berlangsung dengan Dialog, menampilkan Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Bin Tun Mohd Haniff TUDM sebagai moderator dan empat orang panel iaitu Encik Tajul Ariffin bin Muhamad dari MKN, Encik Arjunaidi Bin Ismail dari NADMA, Pengarah Disaster Preparedness And Prevention Center (DPPC) Malaysia-Japan International Institute Of Technology (Mjiit), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Khamarrul Azahari bin Razak dan Komander Maritim Dr. Suzanna Binti Razali Chan yang merupakan Ketua Cawangan Bantuan Bencana, Bahagian Carilamat Dan Bantuan Bencana (BCLBB), Ibu Pejabat APMM Putrajaya.