PUTRAJAYA, 22 Ogos – Majlis pemasangan Jalur Gemilang peringkat Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berlangsung meriah di perkarangan lobi utama tengah hari tadi.
Program ini adalah bagi menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-66 yang bakal disambut pada 31 Ogos 2023 di Dataran Putrajaya di samping meningkatkan lagi semangat patriotik dalam kalangan warga Maritim Malaysia.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan seterusnya deklamasi sajak oleh Kepten Maritim Nik Kamaruddin Bin Yunoh, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Khidmat Pengurusan Maritim Malaysia.
Seterusnya, persembahan pancaragam mengambil tempat dengan memainkan lagu-lagu patriotik mengiringi nyanyian para hadirin sambil mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh bersemangat.
Acara kemuncak ialah pemasangan Jalur Gemilang kepada sembilan kenderaan rasmi jabatan sebagai simbolik yang disempurnakan oleh Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim sambil disaksikan oleh barisan ketua-ketua bahagian serta warga Ibu Pejabat.
Kepada seluruh warga Maritim Malaysia dan orang ramai, kibarkan Jalur Gemilang di kediaman dan permis milik anda bagi menzahirkan semangat patriotik serta cintakan tanah air.





















.svg.png)

