MARITIM MALAYSIA TAHAN VESEL NELAYAN VIETNAM CEROBOH PERAIRAN BINTULU, DISYAKI TANGKAP IKAN SECARA HARAM
KUNJUNGAN HORMAT JABATAN LAUT MALAYSIA (JLM) WILAYAH TIMUR KE MARITIME RESCUE SUB CENTRE (MRSC) MARITIM NEGERI PAHANG
KUANTAN, 22 Ogos - Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin bin Jusoh telah menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Jabatan Laut Wilayah Timur, Tuan Haji Abdul Majid bin Haji Rais, semalam.
Kunjungan ini dilaksanakan bertujuan untuk merapatkan hubungan kedua-dua pihak bagi membincangkan isu-isu semasa berkaitan penguatkuasaan secara bersama dan meningkatkan lagi kerjasama sedia ada antara agensi dan jabatan.
Sempena kunjungan tersebut, rombongan telah dibawa melawat ke MRSC Kuantan serta diberi pendedahan cara pengoperasian bagi mengawal dan menyelaras Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat Maritim.
Maritim Negeri Pahang amat berbesar hati atas kunjungan tersebut dan diakhiri dengan pertukaran cenderamata di antara kedua-dua agensi dan jabatan.
PROGRAM KONSERVASI TAMAN NEGERI PULAU SEMBILAN 2026
LUMUT, 24 Julai – Ibu Pejabat Maritim Negeri (IPMN) Perak terus memperkukuh komitmen terhadap pemuliharaan alam sekitar dan kelestarian ekosistem marin menerusi penyertaan dalam Program Konservasi Taman Negeri Pulau Sembilan Tahun 2026 yang berlangsung di Taman Negeri Pulau Sembilan, Perak semalam.
Program berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’ifullah Shah.
Program ini melibatkan kehadiran pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta pihak berkepentingan dalam kerjasama strategik dalam memelihara khazanah alam serta memastikan kelestarian ekosistem marin negara.
Dalam program tersebut, IPMN Perak telah menggerakkan penglibatan anggotanya menerusi pelbagai aktiviti pemuliharaan, antaranya propagasi karang, penanaman pokok ambong di Pulau Lalang, pembersihan kawasan pantai serta rondaan di sekitar perairan Kepulauan Sembilan.
Penyertaan ini bukan sahaja menyokong usaha pemuliharaan biodiversiti marin, malah turut memperlihatkan peranan Maritim Malaysia dalam memperkukuh kerjasama rentas agensi dan sektor bersama kerajaan, pihak swasta serta pihak berkepentingan dalam melindungi alam sekitar dan sumber marin negara.
Aktiviti pembersihan pantai dan pengurusan sisa yang dilaksanakan sepanjang program turut menjadi platform dalam meningkatkan kesedaran serta memupuk rasa tanggungjawab bersama terhadap kepentingan menjaga kebersihan kawasan pesisir pantai dan kelestarian ekosistem marin.