MARITIM MALAYSIA TAHAN VESEL NELAYAN VIETNAM CEROBOH PERAIRAN BINTULU, DISYAKI TANGKAP IKAN SECARA HARAM
PERLAWANAN PERSAHABATAN BOLA TAMPAR ANTARA MN PERAK DAN TLDM
LUMUT, 15 Disember – Maritim Negeri (MN) Perak telah menganjurkan Perlawanan Persahabatan Bola Tampar di antara warga MN Perak menentang pasukan Penyelam KD Duyong Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, bertempat di Gelanggang Bola Tampar MN Perak, pagi semalam.
Tujuan perlawanan ini diadakan adalah bagi mengeratkan hubungan silaturrahim di antara warga MN Perak dan warga TLDM dalam masa sama mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan anggota kedua-dua agensi.
Perlawanan yang julung kali diadakan ini dilihat mampu menjadi platform bagi mencungkil bakat dan potensi dalam anggota kedua-dua agensi menerusi acara sukan.
Diharapkan penganjuran aktiviti kesukanan dan riadah seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang secara tidak langsung mampu merapatkan hubungan di antara kakitangan jabatan kerajaan.
PROGRAM KONSERVASI TAMAN NEGERI PULAU SEMBILAN 2026
LUMUT, 24 Julai – Ibu Pejabat Maritim Negeri (IPMN) Perak terus memperkukuh komitmen terhadap pemuliharaan alam sekitar dan kelestarian ekosistem marin menerusi penyertaan dalam Program Konservasi Taman Negeri Pulau Sembilan Tahun 2026 yang berlangsung di Taman Negeri Pulau Sembilan, Perak semalam.
Program berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’ifullah Shah.
Program ini melibatkan kehadiran pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta pihak berkepentingan dalam kerjasama strategik dalam memelihara khazanah alam serta memastikan kelestarian ekosistem marin negara.
Dalam program tersebut, IPMN Perak telah menggerakkan penglibatan anggotanya menerusi pelbagai aktiviti pemuliharaan, antaranya propagasi karang, penanaman pokok ambong di Pulau Lalang, pembersihan kawasan pantai serta rondaan di sekitar perairan Kepulauan Sembilan.
Penyertaan ini bukan sahaja menyokong usaha pemuliharaan biodiversiti marin, malah turut memperlihatkan peranan Maritim Malaysia dalam memperkukuh kerjasama rentas agensi dan sektor bersama kerajaan, pihak swasta serta pihak berkepentingan dalam melindungi alam sekitar dan sumber marin negara.
Aktiviti pembersihan pantai dan pengurusan sisa yang dilaksanakan sepanjang program turut menjadi platform dalam meningkatkan kesedaran serta memupuk rasa tanggungjawab bersama terhadap kepentingan menjaga kebersihan kawasan pesisir pantai dan kelestarian ekosistem marin.