17
Rab, Jun

Grid List

MARITIM MALAYSIA LAKSANA MEDEVAC KRU KAPAL PHEONIX JAMNAGAR

LAPAN MANGSA SELAMAT DALAM INSIDEN BOT LAJU TERBALIK DI PANTAI TELUK PASIR, SANTUBONG

MARITIM MALAYSIA LAKSANA MEDEVAC KRU KAPAL CX GEMMA DI PERAIRAN KUCHING

MARITIM MALAYSIA DAN AGENSI DAERAH MERSING LAKSANA OP BERSEPADU PANTAU AKTIVITI ISLAND HOPPING

10 PATI WARGA INDIA DAN BANGLADESH DITAHAN KETIKA CUBA MEMASUKI PERAIRAN NEGARA

ZON MARITIM KUALA KEDAH PERKASA PENGUATKUASAAN OP TIRIS 4.0 MELALUI OPS BERSEPADU DI PERAIRAN NEGERI KEDAH

MARITIM NEGERI PERAK PERKETAT PENGUATKUASAAN - DUA VESEL PUKAT TUNDA HARAM DITUMPASKAN

15 PATI DITAHAN; SENJATA API TURUT DIRAMPAS

33 KAPAL DIPERIKSA DALAM OP AMBAL DI PERAIRAN SARAWAK

KUCHING, 26 OKTOBER – Maritim Negeri Sarawak bersama Jabatan Laut Wilayah Sarawak (JLWS) telah bekerjasama melaksanakan satu operasi bersama dalam OP AMBAL KUCHING -TG MANIS Bil1/2024 bermula pada 23 sehingga 24 Oktober lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Sarawak, Kepten Maritim Simon Templer Lo Anak Tusa berkata, tujuan operasi ini dijalankan ialah bagi meningkatkan keselamatan, penguatkuasaan undang-undang serta membanteras jenayah maritim perairan Sarawak.

Jelas beliau, pada operasi berkenaan, sebanyak 33 kapal telah diperiksa dan beberapa tindakan penguatkuasaan telah diambil ke atas pihak yang didapati melanggar undang-undang maritim.

Simon turut memaklumkan, dalam operasi tersebut, seramai 44 anggota Maritim Malaysia dan 12 anggota JLWS telah digerakkan bersama enam aset Maritim Malaysia dan sebuah aset JLWS ke perairan negara merangkumi perairan Muara Tebas, Tanjung PO, Muara Payang dan kawasan sekitarnya.

Tambah Simon, aset-aset ini memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran operasi, terutamanya dalam aspek pemantauan, pemeriksaan, dan tindakan penguatkuasaan terhadap kapal-kapal yang berada di perairan Sarawak.

Antara kesalahan yang dikesan dalam operasi ini adalah di bawah Seksyen 18(5) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana cuai mengekalkan tanda nama kapal serta nama kapal yang mengelirukan dan beberapa lagi kesalahan lain.

Dalam pada itu, beliau turut memuji kejayaan dalam operasi kali ini serta penambahan aset strategik seperti Bot KILAT 22, KILAT 35, PENGGALANG 22, PENYELAMAT 8, PETIR 82, PERKASA 25, dan TG SELALANG milik Jabatan Laut Wilayah Sarawak telah menjadi penyumbang kepada kejayaan operasi kali ini.

Pada hari terakhir operasi, satu majlis penutup telah diadakan dengan penyampaian cenderahati telah disampaikan kepada anggota pasukan sahabat yang terlibat pada operasi tersebut .

Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan NG999 untuk maklum balas segera.

 

AMBAL SWK 2
 
AMBAL SWK 3
 
AMBAL SWK 4
 
AMBAL SWK 8

KHAYAL DI LAUT, 8 KRU VESEL NELAYAN TEMPATAN DITAHAN POSITIF DADAH

MERSING, 24 OKTOBER – Lapan orang kru bot nelayan tempatan ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing kerana disyaki positif dadah ketika menjalankan OP JAKSA dan OP TIRIS di perairan Mersing lebih kurang pukul 3.00 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan bin Saadin berkata, kesemua suspek ditahan selepas menjalani ujian saringan air kencing dan mendapati mereka disyaki positif dadah jenis Methamphetamine, Amphetamine serta Morfin.

Jelas beliau, lapan individu terbabit berusia lingkungan 37 hingga 55 tahun adalah kru dari tiga buah vesel nelayan tempatan yang terdiri daripada seorang warga Indonesia dan tujuh warga tempatan.

Kesemua mereka dibawa ke Zon Maritim Mersing untuk tindakan siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suhaizan menegaskan, operasi seumpama ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Beliau juga menyeru kepada masyarakat terutama komuniti maritim untuk memberikan kerjasama dengan melaporkan sebarang aktiviti jenayah dan salah laku yang berlaku di perairan negara ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199404.

 

NELAYAN POSITIF 2
 
NELAYAN POSITIF 3
 
NELAYAN POSITIF 4
 
NELAYAN POSITIF 5

BELANJAWAN 2025, PERUNTUKAN RM675 JUTA BAKAL PERKUKUH KEUPAYAAN MARITIM MALAYSIA

PUTRAJAYA, 23 OKTOBER – Peruntukan yang telah diumumkan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar bin Ibrahim kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sempena Belanjawan MADANI 2025 yang dibentangkan pada Jumaat lalu akan memperkukuhkan lagi keupayaan Agensi ini dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab menjaga keselamatan maritim negara.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Muda Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah berkata, Kerajaan telah memperuntukan sejumlah RM675 juta kepada Maritim Malaysia bagi penyelenggaraan kapal sedia ada dan perolehan kapal baharu dalam usaha mengukuhkan kesiagaan Agensi ini menjaga Zon Maritim Malaysia.

Beliau berkata demikian melalui satu Kenyataan Media rasmi yang dikeluarkan Maritim Malaysia bagi menyambut kenyataan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini semalam.

Mengulas lanjut, Datuk Haji Mohd Rosli memaklumkan pecahan peruntukan yang diterima meliputi RM150 juta untuk penyelenggaraan enam buah kapal sedia ada di bawah Ship Life Extension Programme (SLEP) Fasa dua bagi memastikan jangka hayat operasi kapal-kapal berkenaan dapat dioptimumkan.

Manakala RM350 juta telah diperuntukan bagi proses perolehan sebuah kapal Multi-Purpose Mission Ship (MPMS). Kapal ini jelas beliau akan dilengkapi dengan pelbagai keupayaan pelbagai misi operasi yang membolehkan Maritim Malaysia melaksanakan operasi di laut dengan lebih berkesan.

Tambah beliau, sejumlah RM160 juta pula diperuntukkan bagi perolehan dua buah Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPC) yang bakal dilengkapi dengan teknologi terkini dalam usaha meningkatkan keupayaan rondaan dan penguatkuasaan di kawasan perairan yang lebih luas dan mencabar.

Selain kapal baharu, Datuk Haji Mohd Rosli turut memaklumkan Maritim Malaysia bakal menerima sebuah kapal peronda United States Coast Guard Cutter (USCGC) bagi meningkatkan lagi keupayaan Agensi memantau perairan negara, terutamanya di kawasan-kawasan strategik. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM15 juta untuk penyelenggaraan dan pembaikan kapal berkenaan sebelum ia dibawa pulang ke negara ini tahun hadapan.

Terdahulu, Datuk Haji Mohd Rosli menegaskan peruntukan yang telah diumumkan ini membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan Maritim Malaysia dapat meningkatkan keupayaan operasi dan rondaan sekaligus mengatasi segala bentuk ancaman jenayah di Zon Maritim Malaysia.

 

Datuk Rosli Studio 111
 
POSTER ASET

 

 

SEBUAH VESEL PUKAT JERUT BILIS TANGKAP IKAN LUAR KAWASAN DITAHAN MARITIM NEGERI PERAK

LUMUT, 23 OKTOBER – Sebuah vesel pukat jerut bilis ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak selepas dipercayai menggunakan kaedah menarik pukat berhampiran kawasan daratan di lokasi 0.1 batu nautika barat Pulau Pangkor, Perak kira-kira pada jam 4.15 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, tinjauan secara dekat oleh anggota bot ronda Maritim Malaysia di lokasi terbabit mengesahkan vesel tersebut sedang melakukan aktiviti perikanan yang tidak dibenarkan bagi mengaut keuntungan yang besar.

Hasil pemeriksaan mendapati, vesel terbabit dikendalikan oleh seorang tekong warga tempatan dan dibantu oleh enam kru warga tempatan, tujuh kru warga Myanmar serta seorang kru warga Indonesia berumur dalam lingkungan umur 26 hingga40 tahun.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu beroperasi kurang daripada 1 batu nautika dari pantai.

Kesemua nelayan ditahan, manakala bot dan hasil tangkapan ikan bilis dianggarkan 80 kilogram serta peralatan menangkap ikan dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia menegaskan agar komuniti maritim sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil.

Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia di talian Pusat Operasi Maritim Negeri Perak (05-6838737) atau talian kecemasan NG 999 untuk maklum balas segera.

 

VESEL BILIS 2
 
VESEL BILIS 3
 
VESEL BILIS 4
 
VESEL BILIS

ZON MARITIM LAHAD DATU TERUS PERKASA JALINAN KERJASAMA BERSAMA RAKAN STRATEGIK

LAHAD DATU, 23 OKTOBER – Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar bin Ali  terus perkasa jalinan kerjasama bersama rakan strategik melalui pelaksanaan empat Kunjungan Hormat dalam minggu ini.

Terdahulu, kunjungan telah dilaksanakan ke atas Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor bin Sanjos , Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Datuk Dr Jamaluddin bin Mohd Ali, Pengarah Jabatan Laut Wilayah Sabah (Lahad Datu), Tuan Hatikullah bin Ahmad Ong dan Pegawai Pemerintah Markas Operasi, Pasukan Polis Marin Lahad Datu, SUPT Rohizan bin Hj Mohamad Saaid.

Kunjungan hormat tersebut merupakan platform perbincangan yang terbaik dalam mengeratkan hubungan antara agensi di samping pemakluman berkenaan Pengarah Zon Maritim Lahad Datu yang baharu.

Turut dibincangkan pada kunjungan hormat tersebut adalah pandangan mengenai inisiatif pembangunan stategik Pejabat Maritim Lahad Datu dan pengukuhan kerjasama dalam program sukan dan kemasyarakatan bersama-sama komuniti maritim.

Pihak Zon Maritim Lahad Datu merakamkan setinggi penghargaan atas kesudian menerima kunjungan pada kali ini. Majlis diakhiri dengan simbolik penyerahan cenderahati oleh kedua-dua pihak dan sesi bergambar.

 

LAHAD DATU STRATEGIK 5
 
LAHAD DATU STRATEGIK 2
 
LAHAD DATU STRATEGIK
 
LAHAD DATU STRATEGIK 4

Lebih banyak artikel..

Grid List

"TIADA KOMPROMI TERHADAP ANCAMAN DI PERAIRAN NEGARA," - MDN TEGAS KOMITMEN KERAJAAN MADANI PERKUKUH MARITIM MALAYSIA

PUTRAJAYA, 11 JUN – Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman yang menggugat keselamatan, kedaulatan dan martabat negara, khususnya melibatkan jenayah rentas sempadan, penyeludupan serta pencerobohan perairan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, selagi ancaman terhadap perairan negara wujud, selagi itulah Kerajaan akan memastikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memiliki kuasa, kapasiti dan sokongan yang diperlukan bagi melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan secara berkesan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Tahun 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Menurut beliau, keluasan Zon Maritim Malaysia yang meliputi lebih 556,000 kilometer persegi merangkumi laluan strategik seperti Selat Melaka, Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi menjadikan keselamatan maritim sebagai antara keutamaan utama negara.

“Perairan negara bukan sekadar laluan air, malah merupakan nadi geopolitik, ekonomi dan keselamatan negara. Justeru, Maritim Malaysia memainkan peranan sebagai benteng hadapan negara dalam memastikan perairan Malaysia kekal selamat, teratur dan bebas daripada ancaman jenayah maritim,” katanya.

Saifuddin berkata, Kerajaan turut komited memperkukuh keupayaan operasi Maritim Malaysia menerusi pelaksanaan beberapa perolehan aset strategik bagi memastikan agensi itu sentiasa bersedia mendepani cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.

Menurut beliau, Maritim Malaysia dijangka menerima Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) pertama pada pertengahan tahun 2027, manakala kontrak perolehan MPMS kedua yang dimeterai pada 21 April 2026 dijangka siap dalam tempoh 24 bulan bermula Februari 2026 hingga Januari 2028.

Selain itu, Maritim Malaysia juga bakal menerima empat buah helikopter Agusta Westland AW189 pada tahun ini dengan pesawat pertama dijangka tiba pada Julai 2026, sekali gus meningkatkan keupayaan operasi penguatkuasaan, rondaan maritim serta misi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) di seluruh Zon Maritim Malaysia.

Dalam menghadapi cabaran Krisis Tenaga Global 2026, beliau menegaskan bahawa Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyeludupan, penyelewengan dan ketirisan bekalan bersubsidi yang boleh menjejaskan kepentingan negara serta kesejahteraan rakyat.

Melalui pelaksanaan Op TIRIS 4.0 Segmen Laut yang dilaksanakan secara bersepadu bersama PDRM-PPM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia yang bermula pada 16 Mac lalu, Maritim Malaysia telah berjaya merekodkan 30 kes dengan nilai rampasan melebihi RM5.74 juta sehingga 1 Jun 2026.

“Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memastikan diesel, petrol dan barangan bersubsidi tidak diseleweng ke luar negara atau disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Ia juga mencerminkan sokongan padu Maritim Malaysia terhadap aspirasi Kerajaan MADANI dalam memerangi ketirisan serta menjamin kemakmuran negara” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa perkembangan geopolitik global yang memberi kesan kepada laluan strategik antarabangsa seperti Selat Hormuz telah meningkatkan kepentingan Selat Melaka sebagai antara laluan perdagangan dan perkapalan paling penting di dunia.

Justeru, katanya, Maritim Malaysia memikul tanggungjawab yang amat besar untuk memastikan Selat Melaka dan perairan negara kekal selamat, teratur serta bebas daripada ancaman jenayah maritim demi menjamin kelancaran perdagangan antarabangsa serta kestabilan ekonomi negara dan serantau.

Sementara itu, majlis berkenaan turut menyaksikan seramai 254 warga Maritim Malaysia dari seluruh Semenanjung Malaysia menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 sebagai pengiktirafan terhadap prestasi, dedikasi dan komitmen tinggi dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan serta kedaulatan perairan negara.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, YBhg. Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah berkata, “pengiktirafan tersebut bukan sekadar penghargaan kepada pencapaian individu, malah mencerminkan budaya kerja berprestasi tinggi yang terus menjadi tunjang kecemerlangan organisasi”.

Pada tahun 2025, seramai 390 warga Maritim Malaysia di seluruh negara telah dipilih sebagai penerima APC berbanding 372 orang pada tahun sebelumnya. Majlis tersebut turut dihadiri pengurusan tertinggi KDN dan Maritim Malaysia serta warga Maritim Malaysia.




hrmisJPAkkdnlogo KSN logo mampu MDECMyGovSPA cropped logo SPRM AMSAS   AMSAS 
 
usa coast guard logoJPAkkdnlogo     KSN   logo mampu  MyGovSPA cropped logo SPRM  WhatsApp Image 2021 06 21 at 09.42.28    AMSAS   MDEC