MERSING, 24 OKTOBER – Lapan orang kru bot nelayan tempatan ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing kerana disyaki positif dadah ketika menjalankan OP JAKSA dan OP TIRIS di perairan Mersing lebih kurang pukul 3.00 pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan bin Saadin berkata, kesemua suspek ditahan selepas menjalani ujian saringan air kencing dan mendapati mereka disyaki positif dadah jenis Methamphetamine, Amphetamine serta Morfin.
Jelas beliau, lapan individu terbabit berusia lingkungan 37 hingga 55 tahun adalah kru dari tiga buah vesel nelayan tempatan yang terdiri daripada seorang warga Indonesia dan tujuh warga tempatan.
Kesemua mereka dibawa ke Zon Maritim Mersing untuk tindakan siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Suhaizan menegaskan, operasi seumpama ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Beliau juga menyeru kepada masyarakat terutama komuniti maritim untuk memberikan kerjasama dengan melaporkan sebarang aktiviti jenayah dan salah laku yang berlaku di perairan negara ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199404.





















.svg.png)

