MARITIM MALAYSIA TAHAN VESEL NELAYAN VIETNAM CEROBOH PERAIRAN BINTULU, DISYAKI TANGKAP IKAN SECARA HARAM
MARITIM NEGERI JOHOR RAMPAS DADAH BERNILAI RM 200 RIBU
JOHOR BAHRU, 22 Julai - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor telah berjaya merampas dadah disyaki jenis syabu seberat lebih kurang 4 kilogram di perairan Pulau Merambong pada awal pagi semalam.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam bin Zakaria berkata, rampasan dibuat ketika bot ronda Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan Op Jaksa di perairan Tanjung Pelepas dan telah mengesan sebuah bot kayu berada dalam keadaan mencurigakan di kedudukan lebih kurang 0.4 batu nautika barat daya Pulau Merambong sekitar jam 3.00 pagi.
Sebaik sahaja menyedari dirapati bot ronda Maritim Malaysia, suspek bertindak memecut laju menuju ke kawasan cetek dan melarikan diri ke arah paya bakau berhampiran.
Bot kayu tanpa nombor pendaftaran yang ditinggalkan suspek itu menggunakan enjin sangkut jenama Suzuki 15 kuasa kuda, diperiksa geledah dan telah menemukan empat bungkusan plastik berisi serbuk kristal dipercayai dadah jenis syabu yang disorok dalam sebuah tong minyak dengan setiap satu bungkusan itu dianggarkan seberat satu kilogram.
Bot kayu suspek beserta enjin telah ditunda ke Jeti Maritim Sungai Pulai, manakala kesemua empat bungkusan disyaki dadah jenis syabu dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor untuk siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan lebih kurang RM215 ribu.
Maritim Malaysia memandang serius terhadap operasi penguatkuasaan di laut dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap mereka yang cuba melakukan aktiviti jenayah di sepanjang Zon Maritim Malaysia.
Masyarakat terutamanya komuniti maritim diseru untuk bersama-sama berganding bahu menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dalam memerangi jenayah maritim dan penyeludupan dadah serta penyeludupan pendatang asing.
Jika terdapat sebarang aduan mengenai jenayah maritim di perairan Johor, sila hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian hotline (07 – 219 9404) yang beroperasi secara 24 jam atau talian kecemasan MERS 999.
PROGRAM KONSERVASI TAMAN NEGERI PULAU SEMBILAN 2026
LUMUT, 24 Julai – Ibu Pejabat Maritim Negeri (IPMN) Perak terus memperkukuh komitmen terhadap pemuliharaan alam sekitar dan kelestarian ekosistem marin menerusi penyertaan dalam Program Konservasi Taman Negeri Pulau Sembilan Tahun 2026 yang berlangsung di Taman Negeri Pulau Sembilan, Perak semalam.
Program berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’ifullah Shah.
Program ini melibatkan kehadiran pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta pihak berkepentingan dalam kerjasama strategik dalam memelihara khazanah alam serta memastikan kelestarian ekosistem marin negara.
Dalam program tersebut, IPMN Perak telah menggerakkan penglibatan anggotanya menerusi pelbagai aktiviti pemuliharaan, antaranya propagasi karang, penanaman pokok ambong di Pulau Lalang, pembersihan kawasan pantai serta rondaan di sekitar perairan Kepulauan Sembilan.
Penyertaan ini bukan sahaja menyokong usaha pemuliharaan biodiversiti marin, malah turut memperlihatkan peranan Maritim Malaysia dalam memperkukuh kerjasama rentas agensi dan sektor bersama kerajaan, pihak swasta serta pihak berkepentingan dalam melindungi alam sekitar dan sumber marin negara.
Aktiviti pembersihan pantai dan pengurusan sisa yang dilaksanakan sepanjang program turut menjadi platform dalam meningkatkan kesedaran serta memupuk rasa tanggungjawab bersama terhadap kepentingan menjaga kebersihan kawasan pesisir pantai dan kelestarian ekosistem marin.