MARITIM MALAYSIA TAHAN VESEL NELAYAN VIETNAM CEROBOH PERAIRAN BINTULU, DISYAKI TANGKAP IKAN SECARA HARAM
MARITIM MALAYSIA RAMPAS DADAH BERNILAI RM440 RIBU
Batu Pahat, 10 Januari - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Batu Pahat berjaya merampas dadah disyaki jenis syabu seberat lebih kurang 8 kilogram di perairan Sungai Sarang Buaya pada awal pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohamad bin Othman dalam kenyataannya berkata, rampasan dibuat ketika anggota Penguat Kuasa Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan Op Jaksa di sepanjang perairan Batu Pahat sehingga ke Muar dan telah mengesan sesuatu objek yang mencurigakan berada pada boya Permatang Kuala yang terletak di kedudukan lebih kurang 5 batu nautika selatan Sungai Buaya.
Sebaik anggota Penguat Kuasa menghampiri boya tersebut, kelihatan satu tong minyak terapung dengan berisi bungkusan yang dibaluti plastik berwarna hitam.
Pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat lapan paket bungkusan teh Cina berisi serbuk kristal dipercayai dadah jenis syabu dalam setiap plastik hitam tersebut yang dianggarkan seberat satu kilogram setiap satu.
Kesemua lapan bungkusan teh Cina yang mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu seberat lebih kurang lapan kilogram itu seterusnya dirampas dan dibawa ke pejabat Zon Maritim Batu Pahat untuk tindakan dan siasatan lanjut. Anggaran nilai bagi keseluruhan rampasan itu adalah lebih kurang RM440 ribu.
Penemuan ini membuktikan bahawa masih terdapat penjenayah yang cuba mengaburi mata pihak Penguat Kuasa dengan mempelbagaikan taktik menyeludup terutamanya dadah di perairan Zon Maritim Malaysia dan cuba menguji kewibawaan anggota Penguat Kuasa dalam melaksanakan tugas di laut.
Maritim Malaysia memandang serius terhadap operasi penguatkuasaan di laut dan akan mengambil tindakan tegas kepada setiap penjenayah yang melakukan aktiviti jenayah di sepanjang Zon Maritim Malaysia.
Masyarakat terutamanya komuniti maritim diseru untuk bersama-sama berganding bahu menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dalam memerangi jenayah maritim dan penyeludupan dadah.
Jika terdapat sebarang aduan mengenai jenayah maritim di perairan Johor Barat, sila hubungi Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian hotline 07-434 4020 yang beroperasi secara 24 jam.
PROGRAM KONSERVASI TAMAN NEGERI PULAU SEMBILAN 2026
LUMUT, 24 Julai – Ibu Pejabat Maritim Negeri (IPMN) Perak terus memperkukuh komitmen terhadap pemuliharaan alam sekitar dan kelestarian ekosistem marin menerusi penyertaan dalam Program Konservasi Taman Negeri Pulau Sembilan Tahun 2026 yang berlangsung di Taman Negeri Pulau Sembilan, Perak semalam.
Program berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’ifullah Shah.
Program ini melibatkan kehadiran pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta pihak berkepentingan dalam kerjasama strategik dalam memelihara khazanah alam serta memastikan kelestarian ekosistem marin negara.
Dalam program tersebut, IPMN Perak telah menggerakkan penglibatan anggotanya menerusi pelbagai aktiviti pemuliharaan, antaranya propagasi karang, penanaman pokok ambong di Pulau Lalang, pembersihan kawasan pantai serta rondaan di sekitar perairan Kepulauan Sembilan.
Penyertaan ini bukan sahaja menyokong usaha pemuliharaan biodiversiti marin, malah turut memperlihatkan peranan Maritim Malaysia dalam memperkukuh kerjasama rentas agensi dan sektor bersama kerajaan, pihak swasta serta pihak berkepentingan dalam melindungi alam sekitar dan sumber marin negara.
Aktiviti pembersihan pantai dan pengurusan sisa yang dilaksanakan sepanjang program turut menjadi platform dalam meningkatkan kesedaran serta memupuk rasa tanggungjawab bersama terhadap kepentingan menjaga kebersihan kawasan pesisir pantai dan kelestarian ekosistem marin.