LANGKAWI, 2 SEPTEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi dan Maritim Negeri Kedah dan Perlis telah menggerakkan aset bagi membantu memindahkan seorang pesakit lelaki yang mengalami serangan jantung dari Langkawi ke Kuala Perlis untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, awal pagi tadi.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, tindakan pantas itu dilaksanakan selepas Pusat Operasi (PUSOP) Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis menerima maklumat daripada pihak Hospital Sultanah Maliha mengenai keperluan pemindahan segera pesakit berusia 59 tahun yang mengalami serangan jantung Inferolateral ST-Elevation Myocardial Infarction (STEMI) serta komplikasi sesak nafas akibat pengumpulan cecair di paru-paru.
“Pesakit berada dalam keadaan stabil di bawah rawatan rapi dan bantuan oksigen serta memerlukan rawatan lanjut di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
“Bagi melaksanakan pemindahan tersebut, Maritim Malaysia telah mengatur gerak Bot Penyelamat 5 dengan membawa pesakit bersama empat orang kakitangan perubatan dari Hospital Sultanah Maliha,” katanya.
Pesakit bersama empat kakitangan perubatan tiba di Jeti Maritim Malaysia Langkawi menggunakan ambulans pada jam 11.25 malam sebelum proses pemindahan ke dalam Bot Penyelamat 5 dilaksanakan dengan bantuan kru aset tersebut.
Setibanya di Kuala Perlis, pesakit kemudiannya dipindahkan ke ambulans untuk dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah bagi mendapatkan rawatan susulan. Operasi bantuan tersebut selesai sepenuhnya pada jam 3.10 pagi.
Romli berkata, kejayaan operasi pemindahan itu membuktikan kesiapsiagaan berterusan Maritim Malaysia dalam menggerakkan aset bagi melaksanakan tugas kemanusiaan, khususnya bagi membantu komuniti di kawasan kepulauan dan lokasi yang bergantung kepada pengangkutan laut.
“Dalam situasi melibatkan pesakit yang memerlukan rawatan segera, faktor masa amat penting. Kerjasama antara agensi juga merupakan elemen utama bagi memastikan proses pemindahan dapat dilaksanakan dengan selamat dan lancar.
“Kesiapsiagaan Maritim Malaysia bukan sahaja tertumpu kepada aspek penguatkuasaan undang-undang di laut, malah turut merangkumi tanggungjawab membantu masyarakat dalam situasi kecemasan dan keperluan kemanusiaan,” katanya.
Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi kesihatan, keselamatan dan penyelamat bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara pantas, teratur dan berkesan, khususnya kepada komuniti di pulau-pulau dan kawasan yang bergantung kepada pengangkutan laut.













.svg.png)

