MIRI, 1 MAC – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri telah menahan sebuah kapal kargo tempatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar bin Saad berkata, kapal berkenaan telah ditahan oleh aset Maritim Malaysia sekitar pukul 5.05 petang semalam di kedudukan kira-kira 1.8 batu nautika barat laut Kuala Lawas.
Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati kapal berkenaan gagal mengemukakan dokumen stabiliti kapal semasa pemeriksaan dijalankan, yang merupakan satu kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, kapal tersebut dikendalikan oleh sembilan kru, terdiri daripada seorang warga tempatan, empat warga Indonesia dan empat warga Myanmar, yang kesemuanya berumur antara 21 hingga 56 tahun,” katanya.
Tambah beliau, susulan kesalahan yang dikesan, perintah tahanan telah dikeluarkan dan master bersama seorang kru telah diiring kemudian diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara serta memastikan komuniti maritim mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-649111 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 / 082-432016 untuk tindakan segera.


















.svg.png)

