BINTULU, 30 JANUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu telah menahan sebuah kapal kargo di kedudukan 2.7 batu nautika barat laut muara Sungai Kemena, Bintulu petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine bin Abdullah berkata, aset Maritim Malaysia yang sedang dalam rondaan OP PERMAI 01/2019, OP TIRIS 3.0 dan OP PELANTAR MERAH 03/2023 telah melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kapal kargo berwarna putih yang sedang bersauh.
Jelasnya, hasil pemeriksaan awal mendapati, bot itu dikendalikan oleh tiga kru termasuk nakhoda warga India, dua kru warga tempatan dan seorang kru warga Indonesia dalam lingkungan umur 26 hingga 65 tahun.
Kapal kargo berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 60 (1) (d) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal mengibarkan bendera Malaysia ketika pemeriksaan dilakukan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda atau kompaun.
Kapal kargo berserta kru yang ditahan telah diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu seterusnya diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia mengingatkan agar semua komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi peraturan atau undang-undang serta mengamalkan prosedur keselamatan ketika turun ke laut bagi mengelak serta mengurangkan risiko insiden yang tidak diingini berlaku.
Sebarang maklumat, aduan serta insiden kecemasan di laut boleh dilaporkan ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254) atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) untuk maklum balas segera.


















.svg.png)

