LUMUT, 23 JANUARI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak telah menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh Kapal Maritim (KM) NYALAU di kedudukan 12.6 batu nautika dari Tanjung Batu Kerbau, Pangkor, pada lebih kurang pukul 12.45 tengah hari semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, pemeriksaan mendapati vesel tersebut disyaki melakukan kesalahan melanggar syarat sah lesen dengan menjalankan aktiviti menangkap ikan di luar zon yang dibenarkan, iaitu kurang dari 15 batu nautika, selain menggunakan pekerja warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan.
Pemeriksaan lanjut turut mendapati, kehadiran seorang tekong warganegara tempatan bersama empat orang awak-awak warga Myanmar di atas vesel tersebut.
Daripada jumlah itu, seorang memiliki passport, manakala tiga lagi gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri atau pas yang sah untuk berada di Malaysia.
“Kesemua individu, vesel, peralatan menagkap ikan serta hasil laut telah ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh bagi penyerahan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” jelas beliau.
Menurutnya lagi, Maritim Negeri Perak tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, khususnya melibatkan pencerobohan zon perikanan, penyalahgunaan lesen dan penggajian pekerja asing tanpa kebenaran yang sah.
Orang ramai, khususnya komuniti maritim, dinasihatkan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.
Sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut boleh disalurkan kepada Maritim Malaysia melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 bagi tindakan segera.




















.svg.png)

