KUALA KEDAH, 22 DISEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar 40 bungkusan plastik hitam yang disyaki mengandungi daun ketum dengan anggaran berat keseluruhan sebanyak 400 kilogram dtemui terapung sekitar 0.3 batu nautika Pantai Leman, Kuala Kedah pada 2.22 pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, hasil maklumat risikan, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan rutin OP AMAN dan OP GUARD Bil.5/2025 mengesan pergerakan mencurigakan di kawasan operasi sebelum menjumpai 40 bungkusan plastik hitam berkenaan.
Pemeriksaan lanju mendapati bungkusan-bungkusan tersebut dipercayai mengandungi daun ketum yang dibungkus rapi dipercayai dibuang ke laut setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Kesemua bungkusan plastik hitam berkenaan dianggarkan bernilai RM60 ribu dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
Hasil siasatan juga mendapati, modus operandi penyeludupan keluar daun ketum ke negara jiran masih berlaku namun tidak serancak sebelum ini, berikutan negara jiran telah membenarkan penanaman pokok ketum di sana namun masih terdapat permintaan berikutan kualiti tinggi daun ketum dari Malaysia.
Zon Maritim Kuala Kedah menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan kegiatan jenayah maritim, khususnya yang melibatkan bahan terlarang, demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan perairan negara.
Zon Maritim Kuala Kedah juga mengalu-alukan aduan berhubung aktiviti jenayah atau kecemasan di laut yang boleh disalurkan melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.





















.svg.png)

