KLANG, 7 OKTOBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Klang dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Selangor melaksanakan Operasi Bersepadu Laut dan Darat bagi memperkukuh kawalan keselamatan serta membanteras aktiviti penyeludupan, Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan penyalahgunaan dadah di perairan dan pesisir negeri ini.
Operasi yang dijalankan secara bersepadu itu memberi tumpuan kepada kawasan berisiko tinggi yang dikenal pasti sebagai laluan keluar masuk PATI dan lokasi tumpuan aktiviti jenayah maritim.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kerjasama strategik antara ketiga-tiga agensi berkenaan menjadi pemangkin kepada kejayaan operasi bersepadu itu.
“Gabungan kepakaran setiap agensi membolehkan tindakan penguatkuasaan dijalankan dengan lebih menyeluruh, bukan sekadar menumpukan kepada keselamatan perairan, tetapi turut merangkumi isu sosial seperti penagihan dadah dan penyeludupan,” katanya.
Tambah beliau, operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan di perairan negeri Selangor sentiasa terkawal serta bebas daripada ancaman jenayah terancang dan aktiviti tidak bermoral.





















.svg.png)

