PULAU PINANG, 8 OKTOBER – Tindakan sebuah kapal tangki (Tanker Ship) yang bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 14.3 batu nautika daripada barat laut Muka Head, perairan Pulau Pinang membawa padah apabila ditahan bot peronda Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang dalam satu pemeriksaan pukul 11.30 malam tadi.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Muhammad Suffi bin Mohd Ramli berkata, kapal berkenaan adalah sebuah kapal tangki yang membawa muatan minyak ‘Gasoline’ dikendalikan oleh 20 orang kru warga China. Kesemuanya mereka memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Namun hasil pemeriksaan lanjut mendapati, kapal ini tidak memiliki kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia seperti yang dikehendaki di bawah undang-undang,” ujar Suffi.
Tambah beliau lagi, sewaktu pemeriksaan dan penggeledahan menyeluruh dilaksanakan, nakhoda kapal tangki yang berasal daripada Panama itu enggan memberikan kerjasama yang baik terhadap pasukan penguat kuasa dengan tidak memberikan dokumen penting berkaitan kapal tersebut.
Terdapat juga di kalangan kru kapal tersebut enggan membenarkan penguat kuasa untuk turun ke bot peronda bagi melakukan penguatkuasaan seterusnya selepas selesai pemeriksaan dilakukan di atas kapal tangki tersebut.
Namun, hasil rundingan dan penjelasan, kru penguat kuasa dibenarkan untuk turun ke bot peronda Maritim Malaysia.
Justeru, penahanan ini dilakukan kerana mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 491B(1), Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan di bawah seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.
Maritim Malaysia menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang laut negara, dan akan terus memperketat pengawasan khususnya terhadap aktiviti mencurigakan di perairan negeri ini.



















.svg.png)

