LUMUT, 6 OKTOBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak telah menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C pada sekitar jam 2.55 petang semalam.
Penahanan VNT kelas C itu dilakukan kerana melanggar syarat sah lesen dengan menangkap ikan pada jarak kurang daripada 15 batu nautika, iaitu kira-kira 8.3 batu nautika barat daya Pulau Buloh serta menggajikan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, pemeriksaan mendapati lima awak-awak warga Myanmar yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah itu sedang mengendalikan vesel terbabit.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
“Vesel dan kru ditahan manakala peralatan menangkap ikan serta hasil laut disita untuk siasatan lanjut,” jelas beliau.
Dalam operasi berasingan pada sekitar jam 5.30 petang, hasil maklumat risikan Maritim Negeri Perak telah mengesan sebuah bot fiber mencurigakan yang dinaiki dua warga tempatan yang tidak dikenal pasti.
Namun, bot berkenaan bertindak memecut dan melarikan diri ke daratan berhampiran Kampung Baharu, Sitiawan.
Pemeriksaan lanjut mendapati, bot tersebut disyaki melakukan kesalahan kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan sebelum lesen dikeluarkan.
Bot bersama bubu naga dan hasil laut dirampas serta dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
“Bubu naga berisiko tinggi memusnahkan ekosistem laut. Penggunaannya dilarang dan pemiliknya boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985. Jika sabit kesalahan, hukuman denda sehingga RM20 ribu atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan,” jelasnya lagi.
Maritim Malaysia komitmed dalam membanteras kegiatan haram demi kelestarian sumber laut dan keselamatan perairan negara.
Sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim boleh disalurkan ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di 05-683 2254 untuk tindakan segera.





















.svg.png)

