LAHAD DATU, 6 OKTOBER – Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) yang beroperasi terlalu hampir dengan daratan, ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu dalam operasi penguatkuasaan di perairan Kunak, semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar bin Ali berkata, penahanan dibuat kira-kira pukul 11.50 pagi di kedudukan 0.6 batu nautika timur Madai Kunak menerusi Op Pluto Timur 2/2013 dan Op Tiris 3.0.
“Hasil pemeriksaan mendapati, vesel dikendalikan seorang tekong warga tempatan berusia 38 tahun bersama tiga kru warga tempatan berumur 29 hingga 41 tahun '' katanya.
Beliau turut berkata, pemeriksaan lanjut mendapati vesel terbabit melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu menangkap ikan pada jarak kurang daripada 1.5 batu nautika dari daratan terdekat.
Dzulfikhar turut menegaskan, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pengusaha bot nelayan yang ingkar syarat lesen, khususnya mereka yang beroperasi di zon larangan.
“Peraturan jarak ini ditetapkan bagi melindungi ekosistem marin serta memastikan sumber perikanan negara kekal mampan,” tegas beliau.
Vesel, kru dan hasil tangkapan kemudian dibawa ke Jeti Maritim Lahad Datu untuk siasatan lanjut.
Maritim Malaysia turut menyeru komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi undang-undang laut dan segera menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti mencurigakan melalui aplikasi WhatsApp 016-9305727 atau talian kecemasan 999 untuk maklumbalas segera.



















.svg.png)

