PELABUHAN KLANG, 4 OKTOBER – Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas A ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor di kedudukan 3.75 batu nautika barat daya Tanjong Karang pagi tadi.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, tangkapan itu dilakukan lebih kurang pukul 12.50 pagi oleh kapal Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rutin operasi di perairan Selangor.
“Semasa rondaan, kapal Maritim Malaysia telah mengesan vesel berkenaan sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan tersebut,”
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, vesel berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong berumur 33 tahun dan dua awak-awak yang berumur 32 dan 34 tahun. Kesemua mereka adalah warga Indonesia.” jelas Muhaimin.
Pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan permit kerja atau surat kebenaran dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk berkerja di atas bot berkenaan.
“Selain itu, vesel tersebut turut melanggar syarat sah lesen dengan mengunakan peralatan selain menangkap ikan yang tidak didaftarkan dan tidak mempunyai lesen untuk mengambil hasil kerang,” kata Muhaimin.
Kesemua mereka ditahan bersama hasil tangkapan yang dianggarkan seberat 200 kilogram sebelum diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu pemilik tidak mengusahakan sendiri dengan menggajikan warga asing tanpa kebenaran, peralatan mengambil hasil kerang yang tidak didaftarkan dan tidak mempunyai lesen yang sah untuk mengambil hasil kerang.
Kes juga disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tekong dan dua kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Selangor dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang.
“Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras aktiviti perikanan haram di perairan negeri ini,” tegas Muhaimin.
Sebarang aduan, maklumat atau insiden kecemasan serta aktiviti jenayah di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 untuk maklum balas segera.




















.svg.png)

