LUMUT, 2SEPTEMBER – Dua buah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas A telah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak selepas didapati melanggar syarat sah lesen, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, kedua-dua vesel itu ditahan sekitar pukul 10.00 pagi dan 10.10 pagi, pada kedudukan kira-kira 11 batu nautika Pulau Pangkor ketika rondaan rutin sedang dijalankan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua vesel telah menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.”
“Selain itu, salah sebuah vesel dikesan beroperasi dengan lesen yang telah tamat tempoh, manakala sebuah lagi tidak diusahakan sendiri oleh pemilik seperti yang disyaratkan dalam lesen, jelas beliau.
Pemeriksaan lanjut mendapati, vesel pertama dikendalikan oleh seorang tekong warga tempatan bersama dua awak-awak warga Myanmar, manakala vesel kedua dikemudi oleh tekong tempatan bersama tiga awak-awak juga warga Myanmar. Semua awak-awak tersebut disyaki tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Kesemua kru, vesel, peralatan menangkap ikan dan hasil laut dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kampung Acheh untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
Dalam pada itu, Kepten Maritim Mohamad Shukri menegaskan, Maritim Malaysia akan terus komited dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang di perairan negara dan menjejaskan sumber perikanan.
Beliau turut menasihatkan komuniti nelayan agar sentiasa mematuhi syarat sah lesen, memastikan dokumen kru lengkap serta mengutamakan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti penangkapan ikan.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-683 2254 untuk tindakan dan maklum balas segera.




















.svg.png)

