TANJUNG PIAI, 23 SEPTEMBER – Sebuah vesel tanker ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor selepas dikesan bersauh tanpa kebenaran lebih kurang 4 batu nautika barat Tanjung Piai sekitar pukul 5.30 pagi tadi.
Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri bin Kamil berkata, maklumat mengenai sebuah vesel yang disyaki bersauh tanpa kebenaran telah diterima Pusat Operasi Maritim Negeri Johor sebelum Bot PERKASA 42 digerakkan ke lokasi kejadian ketika rondaan OP JAKSA/OP TODAK 2/2021/OP TIRIS 3.0 sedang dijalankan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat 23 kru di atas vesel tersebut yang terdiri daripada 19 warganegara India, dua warganegara Tanzania, seorang warganegara Myanmar dan seorang warganegara Mesir berusia lingkungan 23 hingga 51 tahun. Semua kru mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Bagaimanapun, nakhoda gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh di perairan Malaysia daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
“Vesel tersebut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” jelasnya.
Chief Officer, Chief Engineer serta beberapa dokumen berkaitan vesel tanker itu turut ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Sungai Pulai sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Negeri Johor untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia menegaskan, penguatkuasaan di perairan Johor akan terus dipertingkatkan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelanggaran undang-undang yang boleh mengancam keselamatan perairan negara.
Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung sebarang jenayah atau aktiviti mencurigakan di laut boleh menyalurkannya ke talian kecemasan MERS 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199401.


















.svg.png)

