SEMPORNA, 6 OGOS – Taktik licik sindiket penyeludupan bahan api di perairan Pulau Bum Bum gagal apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna berjaya merampas empat buah bot pam dan sejumlah besar petrol bernilai lebih RM10 ribu, semalam.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir bin Shubli memaklumkan, kejayaan ini hasil Ops Pluto Timur 2/2013, Ops Khas Cegah PATI (OCP) dan Ops Tiris 3.0.
Jelas beliau lagi, indakan pantas itu adalah hasil daripada maklumat risikan yang diperoleh pihaknya berkaitan sindiket penyeludupan di kawasan terbabit.
“Bertindak atas maklumat, Maritim Malaysia telah mengatur gerak Bot KILAT 52 dan Bot ADAL 18 ke lokasi yang dikenalpasti.”
Setibanya anggota bot di lokasi, sebanyak empat buah bot pam tanpa nombor pendaftaran dikesan bergerak secara mencurigakan,” katanya.
Namun, sebaik sahaja menyedari kehadiran anggota Maritim Malaysia, semua juragan dan awak-awak bot bertindak nekad terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan cetek, meninggalkan bot serta muatan mereka.
Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dan rampasan empat buah bot pam, 26 tong berisi petrol serta sebuah enjin sangkut jenama Yamaha 40HP.
“Rampasan ini membuktikan komitmen tegas Maritim Malaysia dalam mengekang aktiviti jenayah maritim, khususnya penyeludupan bahan kawalan seperti petrol,” jelas Amir.
Semua rampasan telah dibawa ke Jeti Kem Azumi untuk tindakan lanjut dan kes kini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu Amir turut menegaskan, Zon Maritim Semporna akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara daripada sebarang bentuk jenayah maritim.



















.svg.png)

