SEMPORNA, 6 OGOS – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna berjaya menggagalkan cubaan menyeludup petrol bersubsidi dalam satu operasi bersepadu di perairan Tg. Kapur, Semporna awal pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir bin Shubli berkata, operasi yang dijalankan sekitar pukul 1.00 pagi itu, sepasukan anggota dari Zon Maritim Semporna telah mengesan sebuah bot kargo mencurigakan ketika melaksanakan Op Pluto Timur 2/2013 di kawasan perairan berkenaan.
“Bertindak atas maklumat risikan, bot BANGGI 10, telah digerakkan ke kawasan terbabit, dan pasukan operasi kemudiannya mengesan sebuah bot kargo berada dalam keadaan mencurigakan,” katanya.
Menurut beliau lagi, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, tekong bot bertindak melarikan diri dengan memecut ke kawasan cetek sebelum terjun dan menghilangkan diri ke dalam hutan bakau.
Hasil pemeriksaan, bot terbabit disyaki telah melakukan pengubahsuaian kapasiti tangki bahan api untuk tujuan penyeludupan ke negara jiran. Dianggarkan sebanyak 1,100 liter minyak petrol telah disimpan di dalam tangka tersebut dan cuba dibawa keluar dari negara ini.
“Jumlah keseluruhan rampasan, termasuk bot kargo, enjin sangkut 200HP dan pam eletrik, dianggarkan bernilai hampir RM155 ribu” ujarnya.
Kesemua barang rampasan telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Semporna untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki dan mengangkut barang kawalan tanpa kebenaran yang sah.
Maritim Malaysia menegaskan akan terus mempergiatkan rondaan dan pengawasan bagi membanteras sebarang aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan di perairan negara, khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).


















.svg.png)

