SUNGAI UDANG, 1 OGOS – Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin bin Zakaria telah mengadakan lawatan kerja ke Melaka Energy Park bagi meninjau tahap keselamatan kawasan perairan dan pelabuhan di sekitar kawasan industri tenaga tersebut Rabu lalu.
Lawatan yang turut disertai lima pegawai dari Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan disambut baik oleh Pengurus Keselamatan Kumpulan PETRONAS, Puan Siti Sarina Azwani binti Abu Bakar.
Delegasi telah dibawa meninjau kawasan Melaka Energy Park termasuk sempadan had pelabuhan yang sering menjadi lokasi aktiviti pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Maritim Malaysia dan PETRONAS sependapat untuk terus memperkukuhkan kerjasama dalam aspek pemantauan keselamatan dan hebahan maklumat kepada komuniti nelayan dan maritim.
Usaha ini termasuk memperluaskan program kesedaran dan memperkemas saluran komunikasi antara pihak industri dan nelayan agar mesej berkaitan kawasan larangan dapat disampaikan dengan lebih berkesan.
Maritim Malaysia menasihati komuniti nelayan agar tidak menjalankan sebarang aktiviti menangkap ikan atau membuang jaring di kawasan had pelabuhan Sungai Udang.
Langkah ini diambil bagi mengelakkan sebarang risiko bahaya yang tidak dijangka, memandangkan kawasan tersebut merupakan zon industri yang melibatkan operasi kapal serta pengendalian bahan berbahaya.




















.svg.png)

