BATU PAHAT, 27 JULAI – Sebuah kapal tanker telah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Maritim Batu Pahat kerana bersauh secara haram di perairan Batu Pahat, malam tadi.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini bin Zainal berkata, kapal tanker yang berdaftar dari Bridgetown itu ditahan bot ronda Maritim Malaysia pada pukul 12.30 malam tadi di kedudukan 12.8 batu nautika barat daya Tanjung Segenting setelah nakhoda gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh ketika pemeriksaan.
Kapal terbabit dikendalikan oleh 18 orang kru termasuk nakhoda terdiri daripada warga India yang berumur diantara 22 hingga 45 tahun.
Kesemua mereka mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah. Kapal tanker itu berlepas dari Dubai kemudian memasuki Pelabuhan Tanjung Bruas, Melaka untuk membawa muatan tar sebanyak 6,894 tan metrik dan seterusnya dalam perjalanan menuju ke Vietnam.
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Maritim Malaysia terus komited dan ingin menegaskan kepada pemilik, pengusaha perkapalan serta nakhoda kapal supaya sentiasa memastikan segala prosedur dan peraturan yang ditetapkan dipatuhi kerana tindakan akan diambil tanpa kompromi dengan mana-mana pihak dalam usaha membanteras aktiviti berlabuh secara haram ini.



















.svg.png)

