PULAU PINANG, 27 JULAI – Tindakan memeriksa beberapa buah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) dan beberapa buah bot pelancong telah dilaksanakan dalam Operasi Bersepadu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Teluk Bahang, dan Jabatan Perhilitan Taman Negara Pulau Pinang pada pagi semalam.
Operasi tertumpu di kedudukan 0.5 batu nautika sekitar perairan Taman Negara dengan melaksanakan pemeriksaan menyeluruh terhadap lesen pemandu bot pelancong, aspek keselamatan bot serta permit bot pelancong. Pemeriksaan juga dijalankn secara rawak terhadap VNT yang berada di kawasan berkenaan.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Muhammad Suffi bin Mohd Ramli berkata, operasi diketuai oleh Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang, Komander Maritim Mohd Hashim bin Mat Zain serta beberapa pegawai pasukan sahabat yang lain mengenalpasti bahawa rata – rata pemandu dan penumpang bot pelancong terdiri daripada warga tempatan berumur lingkungan 25 hingga 50 tahun.
“Kesemua bot dan vesel yang telah diperiksa di Pulau Duyung dan Pantai Kerachut didapati telah mematuhi undang – undang yang telah ditetapka,” ujar beliau.
Muhammad Suffi turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada agensi sahabat yang terlibat dalam operasi bersama kali ini. Kerjasama ini akan ditekankan mengikut situasi semasa sebagai satu koordinasi yang mantap bagi menguatkuasakan undang - undang secara bersepadu.



















.svg.png)

