MIRI, 23 JULAI – Sebuah vesel tunda bersama sebuah tongkang yang beroperasi di perairan Miri ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri selepas gagal mengemukakan dokumen perkapalan sah semasa diperiksa dalam satu operasi, pada Selasa.
Pengarah Zon Maritim, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar bin Saad berkata, penahanan dilakukan kira-kira pada jam 11.40 pagi ketika anggota penguat kuasa Maritim Malaysia melakukan rondaan OP PERMAI 01/2019 dan OP TIRIS 3.0 di kedudukan sekitar 7.4 batu nautika utara Kuala Baram.
“Pemeriksaan mendapati vesel tunda dan tongkang tersebut gagal mengemukakan Surat Pelepasan Pelabuhan serta Lesen Perkapalan Dalam Negeri, yang merupakan dokumen wajib mengikut undang-undang perkapalan negara,” ujarnya..
Beliau turut memaklumkan, kesemua tujuh kru termasuk nakhoda yang merupakan warga Indonesia berusia antara 20 hingga 54 tahun turut ditahan dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana gagal mengemukakan Surat Pelepasan Pelabuhan, serta di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana tidak memiliki Lesen Perkapalan Dalam Negeri.
Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang di perairan negara.
Rondaan dan pemantauan secara berterusan akan diteruskan bagi memastikan keselamatan perairan sentiasa terpelihara, tegas beliau.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut diminta menyalurkan aduan melalui talian Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Miri di 085-649 111, atau talian Maritim Negeri Sarawak di 082-432 544 / 082-432 016 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.




















.svg.png)

