LUMUT, 29 JUN – Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C2 ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Maritim Negeri Perak kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menjalankan aktiviti perikanan di kawasan yang tidak dibenarkan semalam.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, vesel yang menggunakan pukat tunda itu ditahan sekitar pukul 12.15 tengah hari di kedudukan 10.9 batu nautika barat daya Pulau Buluh ketika bot ronda Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan rutin di kawasan tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang tekong dan empat awak-awak warga Myanmar berada di atas vesel tersebut, disyaki mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan dan tiada permit kerja yang sah.
“Vesel bersama kesemua kru, peralatan menangkap ikan dan hasil laut telah dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kg Acheh untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut,” katanya lagi.
Kes berkenaan akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
Dalam pada itu, Shukri turut menegaskan bahawa Maritim Malaysia akan terus melaksanakan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan menjejaskan sumber perikanan negara.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-683 2254 untuk tindakan dan maklumbalas segera.




















.svg.png)

