KUALA TERENGGANU, 29 JUN – Sebuah bot pelancong yang membawa 15 penumpang termasuk kanak-kanak terbalik di perairan Pulau Perhentian akibat ombak kuat dan cuaca buruk, malam tadi.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10.00 malam, bot yang dalam perjalanan dari Pulau Perhentian Kecil menuju ke Pulau Perhentian Besar itu dipercayai hilang kawalan dan terbalik hanya 0.05 batu nautika dari Cozy Chalet Resort.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin bin Che Awang berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden tersebut melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan pada pukul 10.55 malam, sebelum Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan pada pukul 11.17 malam.
“Bot Peronda Maritim Malaysia terus diatur gerak ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan.
“Setiba di lokasi kejadian, kesemua mangsa telah berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung yang bertindak pantas memberikan bantuan,” katanya.
Insiden tragis itu melibatkan sembilan orang dewasa (empat wanita dan lima lelaki) berusia antara 19 hingga 57 tahun serta enam orang kanak-kanak berusia lingkungan tiga hingga 11 tahun.
“Walau bagaimanapun dua kanak-kanak iaitu seorang lelaki berusia enam tahun dan seorang perempuan berusia tiga tahun, serta seorang lelaki dewasa turut disahkan meninggal dunia,” tambah Hamiludin.Terdahulu, bot yang membawa ke semua mangsa dipercayai terbalik akibat keadaan laut bergelora dan cuaca buruk yang melanda kawasan perairan itu malam tadi.
Jelas Hamiludin, kesemua mangsa yang terselamat kemudiannya telah dibawa ke Jeti Pelancong Besut menggunakan Bot Maritim PENGGALANG 45 sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut.
“Maritim Malaysia akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta memastikan aspek keselamatan pengangkutan laut terus dipertingkatkan,” tambahnya.
Kejadian ini sekali lagi menjadi peringatan betapa pentingnya aspek keselamatan di laut, khususnya ketika cuaca tidak menentu.
Maritim Malaysia menyeru semua pengusaha bot pelancongan dan pelancong agar sentiasa mematuhi arahan keselamatan, memakai jaket keselamatan dan memeriksa ramalan cuaca sebelum memulakan perjalanan.




















.svg.png)

