KUALA KURAU, 19 JUN – Sebanyak 1,742 unit bubu naga dianggarkan bernilai hampir RM180 ribu telah dilupuskan hari ini selepas mendapat perintah mahkamah untuk pelupusan secara musnah.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil bin Othman berkata,pelupusan itu dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Daerah Kerian setelah peralatan tersebut dirampas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau sepanjang tahun 2024.
Beliau turut berkata, bubu naga merupakan peralatan penangkapan ikan yang bersifat tidak selektif serta memerangkap pelbagai spesies termasuk anak ikan dan hidupan marin terancam.
“Penggunaan bubu naga menjadi pilihan pihak yang tidak bertanggungjawab kerana ia menjana pendapatan sangat menguntungkan tanpa memikirkan kesan pada jangka masa panjang terhadap ekosistem laut,” jelas beliau.
Tegas beliau, tindakan tegas akan terus diambil dan rondaan penguatkuasaan akan diperhebat bagi membanteras penggunaan alat tangkapan haram itu.
“Kami komited untuk menghapuskan sepenuhnya penggunaan bubu naga di perairan Kuala Kurau. Mana-mana individu yang ditangkap akan disiasat di bawah Seksyen 11(3)(a) Akta Perikanan 1985 kerana mengendalikan atau membenarkan dikendalikan peralatan menangkap ikan tanpa kebenaran sah.
“Mereka juga boleh disiasat di bawah Seksyen 11(3)(b) akta sama kerana memiliki peralatan menangkap ikan tanpa lesen sah,” tegas beliau.
Tambah Mohd Hairil, pelupusan ini bukan sahaja langkah penguatkuasaan tetapi juga sebagai mesej jelas kepada komuniti pesisir bahawa Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap penyalahgunaan peralatan menangkap ikan yang boleh merosakkan sumber laut negara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kumpulan pengamal media yang hadir dan berharap liputan ini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat, agar generasi akan datang tidak mewarisi kemusnahan ekosistem akibat ketamakan pada hari ini.



















.svg.png)

