PELABUHAN KLANG, 4 JUN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor telah menahan sebuah vesel jenis bot kargo air di kedudukan kira-kira 0.16 batu nautika selatan Tanjung Harapan, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, bot kargo air itu ditahan aset Maritim Malaysia ketika melaksanakan rondaan OP EHSAN, OP MURNI dan OP TIRIS di sekitar perairan Klang.
Penahanan vesel tersebut dibuat ketika pemeriksaan pada sekitar jam 12.20 tengah hari, hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan oleh seorang nakhoda bersama tiga kru warga Indonesia dalam lingkungan umur 38 hingga 48 tahun.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, vesel itu beroperasi dengan melanggar syarat lesen di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 atas pelbagai kesalahan iaitu nama nakhoda tidak seperti yang tertera dalam lesen dan kegagalan mengemukakan lesen 500GT Domestic Trade Voyages.
Bukan itu sahaja, terdapat dua kru bot kargo berkenaan tiada dalam senarai nama lesen, tidak mengaktifkan The Automatic Identification System (AIS) dan akhir sekali salah seorang kru tidak memiliki buku pelaut serta kargo menggajikan kru warga asing.
Selain kesalahan-kesalahan ini, bot kargo itu juga disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu seorang kru warga asing tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Vesel berserta seorang nakhoda dan dua kru dibawa ke jeti Pangkalan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang cuai atau sengaja melanggar peruntukan undang-undang negara di Zon Maritim Malaysia.
Sebarang aduan, maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor melalui talian 03-31760627 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.


















.svg.png)

