KUANTAN, 3 JUN — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang telah berjaya menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C yang disyaki beroperasi tanpa permit sah, kira-kira 1.5 batu nautika dari tenggara Kuala Kuantan, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab berkata, penahanan dilakukan sekitar pukul 12.30 tengah hari oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia melalui OP MAKMUR dan OP TIRIS, selepas mengesan VNT tersebut dalam keadaan mencurigakan sedang berapung.
Hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong dan empat kru, kesemuanya warga Myanmar berumur antara 21 hingga 35 tahun.
Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati vesel terbabit disyaki tidak memiliki sebarang permit kerja atau kelulusan daripada Jabatan Perikanan Malaysia serta tidak mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS). Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
Turut dirampas dalam operasi tersebut ialah VNT, peralatan menangkap ikan serta kira-kira 950 kilogram hasil laut. Kesemua rampasan dibawa ke Jeti Penerpa Kuantan Slipway untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut.
Maritim Malaysia memberi amaran tegas bahawa tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang maritim terutamanya kepada pengusaha vesel nelayan tempatan yang gagal mendapatkan lesen serta permit kerja yang sah daripada Jabatan Perikanan Malaysia.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan lanjut.


















.svg.png)

