BATU PAHAT, 30 MEI – Taktik licik dua lelaki tempatan yang cuba menyeludup keluar lebih 1,300 ekor burung eksotik bernilai hampir RM100 ribu ke negara jiran tumpas selepas bot fiber dinaiki mereka berjaya dipintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor awal pagi tadi.
Serbuan kira-kira pukul 1.00 pagi itu dilakukan hasil maklumat risikan berhubung aktiviti penyeludupan di perairan Tanjung Labuh, Johor, yang dipercayai menjadi lokasi transit utama sindiket penyeludupan hidupan liar.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan operasi OP JAKSA, OP TODAK 2/2021 dan OP TIRIS 3.0 digerakkan ke lokasi sebelum berjaya mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.
“Sebaik ditahan, pemeriksaan mendapati terdapat 114 bakul berisi burung Murai Batu dan Murai Kampung dalam jumlah yang dianggarkan melebihi 1,300 ekor.
“Kedua-dua lelaki berusia 26 dan 37 tahun itu gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran membawa keluar hidupan liar dan telah ditahan serta dibawa ke jeti Zon Maritim Batu Pahat untuk siasatan lanjut,” katanya lagi.
Kes kini disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, manakala nilai rampasan keseluruhan termasuk bot dan burung dianggarkan mencecah RM100 ribu.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati burung-burung berkenaan dipercayai cuba diseludup ke negara jiran yang mempunyai permintaan tinggi terhadap spesies itu, khususnya untuk tujuan peliharaan dan pertandingan.
“Modus operandi ini dipercayai melibatkan sindiket terancang yang menggunakan bot kecil dan bergerak pada waktu malam bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak berkompromi dengan sebarang aktiviti penyeludupan serta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Johor di 07-219 9404 untuk tindakan segera.




















.svg.png)

