LUMUT, 26 MEI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak bertindak menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) yang menggajikan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan melanggar syarat sah lesen kerana beroperasi di kawasan yang tidak dibenarkan iaitu pada jarak 6.8 batu nautika barat daya Pulau Buloh pada Sabtu lalu.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, empat warga Myanmar mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan didapati mengendalikan vesel terbabit. Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
“Vesel, kesemua awak-awak, peralatan menangkap ikan dan hasil laut ditahan untuk siasatan lanjut,” ulas Shukri.
Dalam operasi berasingan, sebanyak 80 set bubu naga turut dirampas di perairan Pulau Talang, kawasan panas penggunaan peralatan haram tersebut.
“Bubu naga berisiko tinggi memusnahkan ekosistem laut. Penggunaannya dilarang dan pemilik boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985. Jika sabit kesalahan, hukuman denda sehingga RM20 ribu atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan,” tambahnya.
Maritim Malaysia menegaskan komitmen penuh dalam membanteras kegiatan haram demi kelestarian sumber laut dan keselamatan perairan negara.
Sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim boleh disalurkan ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di 05-683 2254.





















.svg.png)

