KUANTAN, 27 APRIL – Seorang pemancing berdepan saat cemas apabila kayak yang dinaikinya terbalik berjaya diselamatkan di perairan berhampiran Kuantan Port Consortium (KPC) dalam satu insiden yang berlaku, petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab berkata, Pusat Operasi (PUSOP) Maritim Negeri Pahang menerima panggilan kecemasan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng kira-kira pukul 6.25 petang, melaporkan kejadian seorang mangsa jatuh laut kerana kayaknya telah dimasuki air dan terbalik.
Mangsa, Mohamad Saiful Hafizie bin Mohd Kamaruzaman, 32, sempat menghubungi pihak berkuasa melalui telefon dan memaklumkan beliau tidak mampu memulihkan kembali kedudukan kayak tersebut.
Bagi menyelamatkan diri, mangsa telah memanjat sebuah beacon berhampiran untuk menunggu bantuan.
Bertindak pantas atas laporan tersebut, Sea Bot Kapal Maritim (KM) PEKAN digerakkan ke lokasi kejadian pada pukul 7.15 malam bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menggunakan Bot Pilot Pelabuhan.
Mangsa berjaya diselamatkan pada pukul 7.45 malam dan seterusnya tiba dengan selamat di jeti KPC pada pukul 8.05 malam.
Maritim Malaysia menasihatkan para pemancing kayak, khususnya di sekitar perairan Kuantan agar mengutamakan keselamatan dengan tidak keluar secara bersendirian dan memastikan langkah-langkah keselamatan diambil sebelum memulakan aktiviti.
Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan 999.




















.svg.png)

