BINTULU, 22 APRIL – Sebuah bot rekreasi memancing yang dipercayai beroperasi tanpa lesen sah, ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu dalam rondaan pada 19 April (Sabtu).
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine bin Abdullah berkata, bot ronda Maritim Malaysia ketika dalam Operasi Khas Pagar Laut 1/2025, OP TIRIS 3.0 dan OP PERMAI 01/2019 telah melakukan pemeriksaan terhadap bot berwarna putih yang sedang belayar menuju laut lepas.
Hasil pemeriksaan awal mendapati bot tersebut dikendalikan oleh seorang nakhoda dan seorang kru warga tempatan. Kedua - dua mereka masing-masing berusia 26 dan 21 tahun.
Bot disyaki telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 474 (1), Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal mengemukakan Lesen Bot dan dokumen berkaitan bot semasa pemeriksaan dijalankan, yang jika disabitkan boleh dikenakan denda atau kompaun.
Bot berserta kru telah ditahan dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia sentiasa mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.
Sebarang maklumat serta aduan, insiden atau maklumat mengenai aktiviti yang mencurigakan, orang ramai boleh menyalurkannya melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di talian 086-314 254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 yang beroperasi 24 jam.


















.svg.png)

