NELAYAN 63 TAHUN HILANG, BOT DITEMUI TANPA KELIBAT MANGSA DI PANTAI SEPAT
MARITIM NEGERI KELANTAN LUPUS 750,000 BATANG ROKOK
BACHOK, 10 APRIL – Maritim Negeri Kelantan telah melupuskan 750,000 batang rokok jenama SAAT, hari ini bertempat di Tapak Pelupusan sisa pepejal, Beris Lalang Bachok.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah bin Soahdi berkata, pelupusan ini melibatkan kes rampasan rokoktidak bercukai dan disiasat dibawah Akta Kastam 1967 pada tahun lepas. pelupusan telah dilaksanakan secara musnah (ditanam) yang telah dilucut hak dan disaksikan oleh pegawai penyaksi pelupusan.
Tambah beliau, pihaknya akan terus membuat pemantauan membabitkan kemasukan rokok yang diseludup secara haram menerusi rondaan dan operasi secara berterusan bagi mengekang aktiviti penyeludupan yang akan merugikan negara.
Masyarakat dan Komuniti maritim di Negeri Kelantan juga digesa agar terus menjadi `mata dan telinga' kepada Maritim Malaysia khususnya Maritim Negeri Kelantan agar aktiviti yang menyalahi undang-undang seperti penyeludupan rokok ini dapat dikekang.
MARITIM MALAYSIA KONGSI KEPAKARAN PENGUATKUASAAN LAUT BERSAMA 60 PESERTA OSTEX 2026
KOTA KINABALU, 9 APRIL – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah berkongsi kepakaran operasi penguatkuasaan di laut bersama 60 peserta Operational Sea Training Exercise (OSTEX) East Siri 1/2026 dalam satu sesi Subject Matter Expert (SME) yang diadakan di atas KD Kedah, Pangkalan TLDM Sepanggar, baru-baru ini.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, perkongsian tersebut memberi fokus kepada pemindahan ilmu praktikal dan kefahaman menyeluruh berkaitan pelaksanaan penguatkuasaan maritim.
“Pendekatan ini membolehkan peserta memahami secara langsung aspek penguatkuasaan di laut termasuk prosedur, risiko dan tindakan yang perlu diambil secara profesional serta mematuhi undang-undang,” katanya.
Menurut beliau lagi, penglibatan pegawai dan anggota berpengalaman sebagai SME memberi nilai tambah kepada latihan apabila peserta didedahkan dengan situasi sebenar operasi di lapangan.
Sesi berkenaan telah dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Keselamatan Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Leftenan Maritim Mohd Shahril Samsudin bersama beberapa anggota berpengalaman yang berkongsi aspek perundangan, prosedur operasi standard (SOP) serta teknik penggeledahan vesel.
Antara pengisian utama termasuk pemeriksaan keselamatan sebelum penggeledahan, kaedah mengenal pasti ancaman serta taktik operasi di kawasan berisiko tinggi.
Peserta turut didedahkan dengan pengendalian situasi kecemasan, prosedur pemeriksaan tubuh serta penggunaan kekerasan secara berhemah selaras dengan garis panduan operasi semasa.
Perkongsian ini dilihat memperkukuh tahap pengetahuan dan kemahiran peserta OSTEX, sekali gus meningkatkan kecekapan pelaksanaan operasi di laut secara lebih tersusun, selamat dan berkesan.
Dalam masa sama, inisiatif tersebut turut memperkukuh peranan Maritim Malaysia sebagai agensi penguatkuasaan utama negara dalam memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara terus terpelihara.