KEMAMAN, 16 FEBRUARI – Zon Maritim Kemaman menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) bersama enam awak-awak termasuk tekong yang berusia antara 25 tahun hingga 49 tahun ketika sedang menangkap ikan kira-kira pukul 10.45 pagi semalam.
Pengarahnya, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan OP IMAN di sekitar perairan Terengganu telah menemukan sebuah VNT terbabit dalam keadaan mencurigakan di kedudukan lebih kurang 22 Batu Nautika dari muara Kuala Kemaman.
Sewaktu pemeriksaan dijalankan keatas vesel tersebut, anggota menggeledah turut mengesan seorang kru bot bersembunyi di sekitar ruangan tangki diesel.
Hasil pemeriksaan mendapati, vesel nelayan tempatan tersebut telah menggunakan kru melebihi syarat lesen yang dibenarkan, iaitu enam kru termasuk tekong warganegara Myammar dan telah melanggar syarat sah lesen Perikanan Malaysia.
Manakala dua kru didapati tiada permit lawatan kerja sementara (PLKS) daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Vesel, tekong dan lima awak-awak warga Myanmar serta anggaran hasil tangkapan sejumlah 150 kilogram dan diesel anggaran 11 ribu liter ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
Maritim Negeri Terengganu khususnya Zon Maritim Kemaman akan mempertingkatkan lagi rondaan dan kawalan di Zon Maritim Malaysia bagi memastikan kawasan perairan di negeri ini sentiasa selamat.
Maritim Negeri Terengganu turut menggesa komuniti maritim terutamanya komuniti nelayan tempatan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan apabila berada di laut.



















.svg.png)

