LAHAD DATU, 14 JANUARI – Zon Maritim Lahad Datu menahan sebuah vesel pukat jerut bilis di sekitar perairan Kunak, semalam.
Pengarahnya, Komander Maritim Dzulfikhar bin Ali berkata, vesel pukat jerut bilis terbabit ditahan di kedudukan 0.1 batu nautika selatan Pulau Maganting lebih kurang pada jam 5.40 petang oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia yang terlibat dalam OP PLUTO TIMUR 2/2013 dan OP TIRIS 3.0.
Hasil pemeriksaan awal mendapati, vesel itu dikendalikan empat warga tempatan berumur 31 tahun hingga 59 tahun bersama hasil tangkapan seberat dua kilogram.
Kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, vesel itu melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu memukat kurang dari 1.5 batu nautika dari daratan terhampir dan telah melakukan kesalahan yang sama pada tahun 2024 di mana vesel tersebut telah dikenakan kompaun sebanyak RM1,500.
Kesemua kru, bot dan hasil perikanan dibawa ke jeti Perikanan Lahad Datu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Nilai tangkapan adalah lebih kurang RM90 ribu.
Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara.
Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu melalui platform whats app di nombor 016-9305727 atau NG 999 untuk maklum balas segera.


















.svg.png)

