PELABUHAN KLANG, 11 JANUARI – Dua Vesel Nelayan Tempatan (VNT) ditahan Maritim Negeri Selangor semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, penahanan pertama dilakukan berdasarkan maklumat risikan, sebuah VNT ditahan pada jam 2.50 pagi semalam di kedudukan 2.1 batu nautika barat daya Sungai Janggut.
Bot terbabit dikesan sedang leka melakukan aktiviti perikanan di bawah lapan batu nautika dari daratan.
Hasil pemeriksaan mendapati, vesel berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong warga tempatan berumur 30 tahun dan awak-awak seramai empat orang terdiri daripada seorang warga tempatan dan tiga warga Myanmar berumur 39 hingga 46 tahun.
Pemeriksaan lanjut mendapati, tiga awak-awak warga Myanmar gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta permit kebenaran bekerja di atas vesel tersebut.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan kurang dari lapan batu nautika dari daratan serta menggajikan kru warga asing tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana awak-awak tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
Dalam kejadian berasingan, Maritim Negeri Selangor turut melakukan tangkapan ke atas sebuah VNT di kedudukan 15.9 batu nautika barat daya Pulau Pintu Gedong lebih kurang pada 1.00 petang semalam ketika anggota bot peronda Maritim Malaysia melaksanakan OP EHSAN dan OP TIRIS di perairan Selangor.
Hasil pemeriksaan ke atas VNT terbabit mendapati, lesen vesel terbabit telah tamat tempoh dan pengusaha bot menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran.
Tekong dan awak-awak seramai lima orang warga Myanmar berumur 31 hingga 47 tahunturut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Kes berkenaan disiasat di bawah akta perikanan 1985 kerana vesel telah tamat tempoh serta menggajikan warga asing tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan juga di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana awak-awak tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
Kesemua nelayan, dua bot dan hasil tangkapan berserta peralatan menangkap ikan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Sebarang aduan, maklumat dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor melalui talian 03-31760627 atau NG999 untuk maklum balas segera.





















.svg.png)

