PELABUHAN KLANG, 7 JANUARI – Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas B1 ditahan Maritim Negeri Selangor di kedudukan 2.55 batu nautika barat Sungai Janggut pagi tadi.
Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, tangkapan itu dilakukan lebih kurang pada jam 3.25 pagi tadi oleh Kapal Maritim yang sedang melaksanakan rutin operasi di perairan Selangor.
“Semasa rondaan, Kapal Maritim telah mengesan vesel berkenaan sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan di kedudukan kurang lapan batu nautika dari daratan.”
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, vesel itu dikendalikan oleh seorang tekong warga tempatan berumur 41 tahun dan tiga awak-awak, iaitu seorang warga tempatan berumur 38 tahun manakala dua lagi warga Myanmar masing-masing berumur 45 dan 33 tahun,” jelas Muhaimin.
Pemeriksaan lanjut mendapati, dua kru warga asing tersebut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan permit kerja atau surat kebenaran dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk berkerja di atas bot berkenaan.
Kesemua mereka ditahan bersama hasil tangkapan ikan campur yang dianggarkan seberat 150 kilogram sebelum diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menunda atau melakukan aktiviti penangkapan ikan di bawah lapan batu nautika dan pemilik tidak mengusahakan sendiri dengan menggajikan warga asing tanpa kebenaran.
Kes juga disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana dua kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pihak kami banyak menerima aduan khususnya daripada nelayan tradisional berkenaan kegiatan ‘tarik tepi’. Sikap tamak segelintir pengusaha bot nelayan itu dikhuatiri boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem serta mata pencarian nelayan tradisional yang bergantung hidup hanya di kawasan perairan di bawah lima batu nautika.”
“Oleh itu, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana perlanggaran syarat sah lesen yang dibenarkan,” tegas Muhaimin lagi.
Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya perairan Selangor.
Sebarang aduan, maklumat atau insiden kecemasan serta aktiviti jenayah di laut orang ramai boleh menyalurkannya ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 untuk maklum balas segera.



















.svg.png)

