PELABUHAN KLANG, 5 JANUARI – Maritim Negeri Selangor menahan dua Vesel Nelayan Tempatan (VNT) di perairan Selangor pada Jumaat lalu.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, penahanan pertama iaitu VNT kelas A dilakukan oleh Kapal Maritim dalam OP EHSAN, OP MURNI dan OP TIRIS di perairan Selangor di kedudukan 27.6 batu nautika barat daya Kuala Selangor kira-kira pada jam 3.05 petang.
Hasil pemeriksaan mendapati, vesel itu telah melakukan kesalahan di bawah Akta perikanan 1985 iaitu melakukan aktiviti perikanan tanpa lesen yang sah atau lesen telah tamat tempoh dan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana dua orang awak-awak warga Myanmar berumur 34 dan 42 tahun tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Penahanan kedua pula telah dilakukan oleh aset bot Maritim Malaysia, iaitu sebuah VNTkelas B1 di kedudukan tujuh batu nautika barat daya muara Tanjung Karang pada jam 9.05 malam pada hari yang sama.
Hasli pemeriksaan ke atas vesel tersebut, terdapat seorang tekong bersama tiga kru warga Myanmar dalam lingkungan umur 23 hingga 29 tahun sedang mengendalikannya ketika ditahan.
Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen, tekong dan kru tidak mempunyai dokuman pengenalan diri yang sah serta beroperasi kurang dari lapan batu nautika dari daratan.
Kedua-dua kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa lesen yang sah atau lesen telah tamat tempoh, melakukan aktiviti menangkap ikan kurang dari lapan batu nautika dari daratan serta menggajikan kru warga asing tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Kesemua nelayan, bot dan hasil tangkapan berserta peralatan menangkap ikan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.
Sebarang aduan, maklumat dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau kecemasan 999 untuk maklum balas segera.
.



















.svg.png)

