LUMUT, 4 JANUARI – Baru sahaja melangkah tahun baharu 2025, Maritim Negeri Perak merampas sebanyak 30 set bubu naga atau bubu kamban di kedudukan sekitar 3.6 batunautika dari barat laut Pulau Talang, Perak lebih kurang pukul 12.30 tengah hari semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, bubu yang berukuran lebih kurang 10 meter panjang setiap satu yang dipasang secara berangkai ini dikesan oleh sepasukan bot ronda Maritim Malaysia ketika sedang melaksanakan rondaan dengan penemuan bendera yang mencurigakan di lokasi terbabit.
Jelas beliau, tinjauan secara dekat oleh anggota bot ronda mengesahkan bendera berwarna biru mencurigakan itu terapung di permukaan air serta diikat pada pancang kayu tersebut adalah merupakan penanda kepada bubu naga ini yang dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab.
Kesemua bubu naga dianggarkan bernilai hampir RM3 ribu tersebut dirampas dan kemudiannya diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.
Jika disabitkan kesalahan, individu yang melakukan kesalahan berkenaan akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak melebihi duatahun atau kedua-duanya sekali.
Tambah Shukri, Maritim Negeri Perak berharap agar permulaan tahun baharu inisemua komuniti nelayan lebih cakna dan patuh akan peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan, dan tidak sesekali melaksanakan kesalahan yang sama berulang kali di perairan negara terutamanya Perairan Negeri Perak.
Ini kerana Maritim Malaysia akan terus membuat rampasan ke atas bubu naga serta tidak akan berkompromi dalam mengenakan tindakan ke atas pesalah yang melakukan aktiviti menyalahi undang-undang ini.
Justeru orang ramai terutamanya komuniti maritim diseru agar terus berkongsi maklumat bagi sebarang pelanggaran undang-undang di laut dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 untuk tindakan segera.



















.svg.png)

