JOHOR BAHRU, 1 JANUARI – Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah melaksanakan sebanyak 117 program Preventive SAR bagi sepanjang tahun 2024. Tujuan program ini diadakan bagi menyampaikan kepentingan mengenai keselamatan di laut terutama kepada komuniti maritim.
Program Preventive SAR yang dilaksanakan adalah seperti mengedarkan risalah keselamatan di laut dan talian hotline Maritim Malaysia sekiranya berlaku kecemasan di laut.
Di samping itu juga, pendedahan mengenai kepentingan memakai jaket keselamatan sewaktu di laut juga dititikberatkan dan memastikan peralatan keselamatan tersebut berada di dalam keadaan yang baik dan berfungsi.
Komuniti maritim khususnya pihak nelayan juga digalakkan memiliki Personal Locator Beacon (PLB) bagi memudahkan pihak Maritim Malaysia mengesan dan memberikan bantuan sekiranya terjadi kemalangan di laut.
Untuk rekod, sepanjang tahun 2024, MRSC Johor Bahru telah mengkoordinasikan sebanyak 70 kes Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) yang melibatkan insiden kapal dan bot sebanyak 16 kes, insiden melibatkan manusia sebanyak 21 kes, Medical Evacuation (MEDEVAC) sebanyak 10 kes dan lain-lain kes bantuan aset dan bantuan bencana.
Sebanyak 281 mangsa berjaya diselamatkan dengan enam mangsa masih hilang dan 25 mangsa disahkan meninggal dunia.
MRSC Johor Bahru akan meningkatkan lagi program Preventive SAR bagi tahun 2025 untuk memberi penyampaian berterusan dan pencegahan bagi mengurangkan kes-kes insiden terutama yang melibatkan kehilangan nyawa di laut.




















.svg.png)

