LUMUT, 30 DISEMBER – Maritim Negeri Perak menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C bersama lima nelayan warga asing termasuk tekong di kedudukan 11 batu nautika barat Pulau Buloh, Perak pada sekitar jam 1.45 petang semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, vesel terbabit dikesan oleh aset Maritim Malaysia ketika sedang melaksanakan rondaan rutin di sekitar lokasi terbabit.
Hasil pemeriksaan mendapati, vesel itu dikendalikan oleh seorang tekong bersama empat kru warga Myanmar dalam linkungan umur 21 hingga 41 tahun.
Pemeriksaan lanjut terhadap dokumen mendapati, vesel itu telah melanggar syarat sah lesen kerana menangkap ikan kurang dari 15 batu nautika dan menggunakan nelayan asing tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.
Kesemua kru yang ditahan tidak menunjukkan rasa bersalah walaupun gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diminta pihak berkuasa.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang diperakui.
Kesemua nelayan ditahan, manakala vesel dan hasil tangkapan berserta peralatan menangkap ikan dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia menegaskan agar komuniti maritim sentiasa mematuhi undang- undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan oleh kerajaan.
Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia melalui Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.




















.svg.png)

