LUMUT 30 DISEMBER – Maritim Negeri Perak telah menyerahkan empat nelayan warga Indonesia kepada wakil konsulat negara itu selepas vesel yang dinaiki mereka rosak dan hanyut ke Perairan Malaysia.
Pengarahnya, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, penyerahan empat nelayan terbabit iaitu Zulkarnaen, 42, M.Syafill, 46, Ishak bin Osman, 53, dan Nuril Asfor, 46 yang berasal dari Tanjung Balai, Indonesia dilakukan di hadapan wakil konsulat negara itu iaitu Encik Arsat Amrullah di Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak bersama Timbalan Pengarah Siasatan Maritim Negeri Perak, Leftenan Maritim Mohamad Fuad bin Ja’afar pada sekitar jam 11.52 pagi Sabtu lalu.
Terdahulu, kejadian vesel hanyut ini disedari oleh Pusat Operasi Maritim Negeri Perak pada 24 Disember lalu melalui maklumat yang diterima daripada orang awam, bahawa terdapat sebuah Vesel Nelayan Asing (VNA) sedang melakukan aktiviti perikanan di kawasan muara Sungai Tiang.
Ujar beliau, berikutan aduan itu Pusat Operasi Maritim Negeri Perak telah mengatur gerak aset bot ronda Maritim Malaysia ke lokasi bagi membuat pemantauan dan berjaya mengesan VNA berkenaan. Namun, setelah pemeriksaan dilaksanakan mendapati vesel mengalami kerosakan pada bahagian propeller dan hanyut ke perairan Malaysia.
Tambah Shukri, urusan penghantaran pulang kesemua nelayan tersebut akan dilakukan oleh pihak Indonesia sendiri dan wakil konsulat bersetuju menerima mangsa setelah selesai sesi pengesahan dan proses dokumentasi serta pemilik vesel juga bersetuju untuk vesel mereka dimusnahkan di Malaysia memandang vesel tidak lagi sesuai dibawa pulang ke Indonesia.
Penyerahan kesemua nelayan warga Indonesia ini mencerminkan hubungan baik yang sedia terjalin di antara Malaysia dan Indonesia dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan perairan kedua-dua negara terjamin.
Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.




















.svg.png)

