KUANTAN, 30 DISEMBER – Maritim Negeri Pahang melalui Maritime Rescue Sub – Center (MRSC) Kuantan telah menerima aduan berkenaan sebuah bot tunda, Muhibah AP 12 yang mengalami kerosakan dan dikhuatiri hampir karam di lokasi lebih kurang 12 batu nautika tenggara Kuantan, Pahang berhampiran Pantai Lagenda pada jam 7.40 malam, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab berkata, pihak Maritim Negeri Pahang menerima maklumat bahawa bot itu telah dipukul ombak sehingga terkandas berhampiran Pantai Lagenda dan kesemua kru bot yang terdiri daripada empat kru iaitu seorang rakyat tempatan dan tiga warga Indonesia berada dalam keadaan selamat dengan memakai jaket keselamatan.
Sebaik menerima laporan itu, bot ronda PENGGALANG 19 telah diatur gerak ke lokasi namun akibat cuaca buruk terpaksa berpatah balik.
Pada jam 12.30 pagi tadi, MRSC Kuantan telah menerima makluman daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Pekan bahawa kesemua mangsa telah diselamatkan melalui jalan pantai berikutan jarak lokasi bot tunda yang terkandas adalah berhampiran dengan pesisir pantai.
Ketika ditemukan kesemua mangsa dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Selepas mendapat pengesahan daripada pihak PDRM dan kesemua mangsa, Operasi CARILAMAT ditamatkan pada jam 4.00 pagi tadi.
MRSC Kuantan dan Maritim Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PDRM dan APM atas kerjasama yang diberikan sepanjang Op CARILAMAT ini berlangsung.
Maritim Malaysia sentiasa komited membantu komuniti Maritim serta mengalu-alukan orang ramai menyalurkan sebarang aduan atau maklumat insiden kecemasan di laut ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang melalui talian 09-5717345 atau 999 untuk maklum balas segera.



















.svg.png)

